Revolusi Paradigma Pekerja Muslim Go to product page

RM22.00
Yang kita ketahui tentang kapitalis adalah wujudnya bank dan kaum pemodal antarabangsa. Itu sahaja! Lalu kita berkata bahawa dunia hari ini mengamalkan sistem kapitalis kecuali beberapa negara seperti China, Korea Utara dan Rusia. Dan kita juga percaya bahawa Malaysia turut menjalankan dasar kapitalis yang durjana ini.

Lantas jika diminta untuk diloretkan falsafah kapitalis yang sedang berlaku dalam kehidupan kita seharian, ternyata kita akan gagal dan garu kepala. Ini kerana kita tidak diajar secara lengkap tentang sistem tersebut, dan tidak juga diberi perbandingan dengan sistem Islam atau sistem ekonomi silam.Sungguh cengkaman kapitalis telah sangat kokoh dalam setiap sendi kehidupan kita, hingga ia bukan sekadar sebuah sistem ekonomi, sebaliknya telah menjadi sebuah kerangka fikir dalam hidup masyarakat umum. Salah satunya adalah perihal bekerja dan mencari penghidupan.

Tanpa sedar umat Islam telah melihat pekerjaan sebagai matlamat kekayaan, lantas maruah dan nilai dilonggok padanya, hingga kitapun menjadi hamba kepada dunia. Seseorang dinilai mulia melalui apa yang dia kerjakan. Seseorang dianggap berjasa dengan jawatan yang disandang, serta martabat seseorang dalam hirarki masayarakat ditimbang dengan banyaknya harta atau jenis pekerjaannya.

Lalu, sebuah pekerjaan yang sepatutnya menjadi wacana ibadah telah hilang fungsi ubudiyah, dan lenyap pula nilai kehambaan serta pengabdian. Kita pun berlumba-lumba menimbunkan harta dengan bekerja siang dan malam, kerana ingin dihormati dan disanjung tinggi, serta ingin mendapatkan ‘kebebasan kewangan’. Bila telah dipuncak, maka pekerja bawahan akan di pandang sebelah mata, merasa mereka hina, dan tidak inginpun bermenantukan mereka.Kapitalisme telah mengubah pandangan kita kepada dunia, menyongsangkan pengertian kita terhadap maruah, mengilusikan kita terhadap rezeki dan mengajarkan kita untuk menjadi pencinta harta. Sesungguhnya semua para sahabat itu bekerja, namun mereka tidaklah melihat pekerjaan sebagaimana mata kita melihatnya pada hari ini.

Justeru buku ini membahas bagaimana seharusnya seorang muslim melihat dunia, dan kewajiban untuk bekerja, serta menyusun kembali aksiologi (teori nilai) Islam yang telah dipinggirkan. Serta mengingatkan kembali orang yang beriman tentang hakikat Tuhan yang Maha Kaya, dari Dialah rezeki dan harta manusia. Buku ini mengajar tentang keyakinan, bersumberkan tauhid yang sebenar.

Buku ini juga sebenarnya adalah modul latihan yang dipraktikkan dalam program Modal Insan (Human Capital) untuk pekerja muslim. Ia telah membetulkan kembali pandangan kita terhadap tanggungjawab, fungsi dan motivasi bekerja. Manusia hanya akan terdorong untuk terus kekal istiqamah apabila mereka memiliki tauhid yang shahihah. Insyaallah buku ini salah satu modul yang menyajikan hal tersebut. Selamat membaca dan bersedia untuk mengubah paradigma!